Sunday, March 6, 2011

Telah Muncul Makna Kurnia Garapan

Maka tepat tatkala mentari tegak
Alang berdiri marak berjarak selintas di ubun langit
Diriku yang tujuh itu, kuhimpun duduk berhimpit minit

Kukenal engkau, pertamaku;
Harus keluh-kesah perih-sedih terjah segala dukaku,
Lantas kukenal engkau, keduaku;
Liuk-lentuk gelak gembira ketawa ria raih saat sukaku,

Gegak-gempita kau kutahu, ketigaku;
Bumbu kekasihcintaan penggubah sarat hasrat penyebar lebar minatku,
Resah-radang kau kutahu, keempatku;
Nur kebencidengkian penyimpan kesumat dendam niat-niat jahatku,

Fahamku engkau, kelimaku;
Tonggak fikir-selidik sang pengkaji kembara ruang akalku,
Rapatku engkau, keenamku;
Pekerja kumpul-tempa sang penggembleng segenap tenagaku,

Akhirnya kau, ketujuhku;
Si pemerhati pemenung merenung ketiadaan
Keberadaan abadi kau menabiri
Segala. Justeru, jikalau

Yang ketujuh-tujuhnya aku, dan akulah yang ketujuh-tujuhnya,
Oleh itu, "Siapa pula aku?"
Ujarku, entah ujar si aku yang mana satu.

2 comments:

  1. "Siapa pula aku?" aku adalah sentiasa satu diri yang menang mengalahkan diri-diri lain.

    ReplyDelete