Wednesday, September 14, 2011

orang kampung.


kami orang biasa
berketurunan petani
yang diam di kampung.
siangnya kami bergelumang
dalam kotoran dan selut
di sawah padi,
dan malamnya kami bertemankan
lampu gasolin yang
menerangi rumah papan kami,
juga buku-buku
kala anak-anak kami menelaah.
tiba waktu beradu,
kami beralaskan
tikar mengkuang
yang hampir mereput.


di pagi yang hening,
kami bersusah payah
mengejutkan anak-anak kami
yang masih lena
supaya bangun dan persiapkan diri
untuk menuntut ilmu
dengan harapan
ilmu yang dipelajari
dapat bebaskan kami
dari belenggu kemunduran.


sementara kami sendiri
berduyun-duyun ke sawah.
membanting tulang
di bawah terik mentari
demi sedikit wang
buat belanja seharian.


kami sedar
kami bukanlah sesiapa.
tapi ingatlah
bahawa kami bukan
bajingan hina.
mungkin kami lemah,
tapi kami juga ada
akal,
hati,
agama,
dan maruah.
usah kau persendakan
dan layan kami seperti
sampah.


hanya kerana kau ada
wang,
kuasa,
pangkat
dan kroni
yang membantu kau
menindas kami.


sedarlah.


kami tahu kau bangga
dengan apa yang kau ada.
tapi jangan lupa
satu perkara:


kau juga orang kampung
seperti kami.

2 comments: