Monday, April 11, 2011

Jabatan Jaya Jejambat Jahat

Sendiri di semak-samun, Sang Pencuri
Simpulkan hasil judian nasibnya,
Susuni serakah lagak langkah,
Sisip curian sisi rusuk kirinya,
Susup-sasap ke tandu teka-tuding.
Seluruh curiannya dihamburjudikan
Disertakan serak seru,
"Semoga sekerlipan terganda syilingku,
Setelah kujudi sembilan kali!"

Si Penjudi, sendiri di sunyi-sepi
Selepas syilingnya habis tercuri,
Salahkan susunan tuan tandu teka-tuding,
Sanggahi tuah peneka-penuding lainnya,
Sering sungguh judiannya lesap licin.
Segenap tenaganya ditumputeguhkan
Disertakan siul semangat,
"Semoga sekerlipan terhilang malangku,
Sesudah kusamun sembilan saku!"

Takdir tertulis mereka bertemu
Berdua berbentang hasrat halatuju
Bertiga lalu mengangguk setuju.

Terlucut sangsi pencuri dan penjudi
Tangan terjabat, hati tertambat dua jejambat
Lalu tercantum jadi jambatan.

Deraian tawa jahat memberi restu,
Nikmati kejayaan gabung kejahatan,
Di jambatan baru ia menari berlagu,
"Semoga selamanya kejahatan ini,
Berjahat sejahat-jahatnya jahatkan kejahatan!

Ja ha ha ha ha ha hat!"

1 comment: