Tuesday, April 5, 2011

Hembusan Angin Buat Gadis Prairie

Seorang gadis kecil
di bawah pohon
Grand Couteau Oaks,
ditemani anjing
Shetland Sheepdog,
tekun membaca karangan
Laura Ingalls Wilder.

Hatinya berbunga-bunga
biarpun angin prairie
cuba meredam runut bunyi
Somerset Maugham
yang indah dalam khayal
mimpi-mimpi langitnya.

Dia tidak lagi takut
mendengar sahutan coyote
di malam hari,
kerana dia tahu
sasaran buruan bukan dia,
rumahnya kecil saja;
terisi seorang ayah,
ibu,
kakak,
anjing Shetland Sheepdog,
dan dia sendiri.

Hatinya berbunga-bunga
biarpun angin prairie
cuba meruntuhkan angan fantasi
Auguste Rodin
yang hanyut dalam fikir
logika-logika rerumputnya.

Maka dia berlindung,
dari kepungan bison
atas ihsan Tuhan
memberi setulang banjaran
dan sehampar padang;
semanggi putih,
rumput Santa Catalina,
dalea ungu,
lalang-lalang,
dan dia sendiri.

Hatinya berbunga-bunga
biarpun angin prairie
cuba menenggelam lembah gembira
Mark Twain
yang berjenaka dalam satira
teater-teater gembalaannya.

Di tepi rumah kecil,
ada gerobak
berisi rumput kering,
dan seorang gadis kecil
tinggal di tanah prairie;
sudah lama tahu,
hembusan angin
ke hatinya - adalah perkhabaran dunia untuk dia.

3 comments:

  1. hai...apa sahajalah yang berlagu dalam jiwamu?



    mantap!

    ReplyDelete
  2. ahahahaa.

    Little House On The Prairie, shaz.
    selalu layan dokumentari dan short film, jadinye camni laa. menerawang fantasi aku.

    kahkahkah.

    ReplyDelete
  3. terbaekk nih!
    aku tgh cari² button like mcm button like facebook :)

    ReplyDelete