Dan ketika alunan suara itu lembut menusuk ke hati
Serentak jiwaku luluh menggetarkan seluruh anggota
Rasa gerun dan takut menggoncang segenap ruang inci nafasku
Hingga berderai air mata dengan sedu-sedan yang menyesakkan dada
Dan pada satu malam aku jadi gelisah
Puas kupaksa diri untuk tidur tetapi tiada jaya
Lalu akhirnya kubuka 'buku itu' yang lama sudah tidak kusentuh
Dek kesibukan duniawi yang mencuri seluruh masaku
Dan saat lidahku melagukan isi cerita 'Buku itu'
Terasa seakan angin lembut meresap masuk ke seluruh rongga
Mewujudkan rasa tenang yang mendamaikan jiwa
Seolah diriku dirangkul dan didakap erat olehNya
Dan tika itu kusedar bahawa Kekasih abadiku itu
Tidak pernah meninggalkan aku
Dia mendengar rintihku dan melihat esak tangisku
Jua mengampunkan segala khilafku
Dia timpakan aku dengan ujian
Agar aku tersentak dan tersedar
Lalu kembali mengingati janji aku kepadaNya
Untuk mencintai Dia sepenuh jiwa
Dunia ini hampir mengurangkan cinta dan kasihku terhadap Dia
Membuatkan aku lupa untuk membuka kitabnya
Yang sewajibnya aku jadikan panduan hidup
Bukan hanya menurut takdir secara buta-buta
Kekasih, Cinta hatiku, Ya Rahman, Ya Rahim
Aku mohon agar roh ketenangan yang aku rasa ini tidak kan hilang
Agar sempat kuperbaiki hubungan cinta kita biar sempurna
Buat bekalan untuk aku menghadapMu di sana
No comments:
Post a Comment